Friday, 3 June 2016

Refleksi Minggu ke 11 (25 Mei 2016) - Nur Farah Hani

Assalamualaikum,

Refleksi bagi minggu ni adalah berkenaan topik Strategi Survival Melayu dan Bumiputera. Konsep ini bermaksud satu usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan kehidupan dan kewujudan orang Melayu dan Bumiputera terus terjamin mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia. Peranan dan tanggungjawab kerajaan dalam membela nasib orang Melayu dan Bumiputera tidak bercanggah dalam Islam selagi mana tidak menindas dan menzalimi hak-hak kaum lain yang ada di Malaysia. Sejak merdeka sehingga kini, banyak usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan terutama yang dilakukan oleh pemimpin Melayu bagi memastikan survival Melayu dan Bumiputera di Malaysia. Dari segi politik, kerajaan telah mewujudkan kerjasama dan penyatuan politik iaitu Parti Melayu yseperti UMNO, PAS dan PKR dimana matlamatnya adalah untuk menjaga dan bekerjasama dalam perkara yang melibatkan kepentingan Melayu dan Bumiputera. Selain itu, dari ekonomi pula kerajaan telah memperluaskan program berasaskan pertanian dengan sokongan bantuan seperti pinjaman modal, memperkasakan industri kecil dan sederhana serta membantu peniaga kecil, petani dan nelayan. Dari sudut sosial pula adalah dengan menguatkan perpaduan Melayu dan Bumiputera seperti melaksanakan program kejiranan, Rukun Tetangga, rondaan sukarelawan, gotong royong dan sebagainya. Dari segi pendidikan pula ialah menubuhkan RIDA, Dewan Latihan RIDA, Maktab MARA dan Institusi Teknologi MARA dan pengiktirafan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Yang terakhir dari segi budaya ialak kerajaan Malaysia telah menggubal satu Dasar Kebudayaan Kebangsaan agar nilai budaya masyarakat terus kekal pada masa akan datang.


Refleksi bagi topik yang terakhir dalam silibus CTU555 yang telah saya pelajari adalah Islam dan Hubungan Etnik. Soal perbezaan bukan menjadi penghalang untuk manusia berbaik-baik, bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain. Islam melihat kepelbagaian etnik dengan pandangan yang positif untuk berkenal-kenalan dan bantu-membantu dalam perkara kebaikan. Prinsip Islam berkaitan dengan nilai-nilai kemanusiaan terdiri daripada pelbagai jenis. Antaranya ialah Al-'Ilm yang bermaksud ilmu, Al-Syura (perbincangan), Al-'Adalah iaitu keadilan, Al-Hurriyyah yang membawa erti kebebasan, Al-Musawah yang bermaksud samarata dan yang terakhir ialah Al-Mas'ulliyah (tanggungjawab). Yang menjadi asas hubungan etnik menurut Islam ialah Al-Ta'aruf (berkenal-kenalan), Al-Tafahum (faham-memahami), Al-Ta'awun (bantu-membantu), Al-Tadhamun (jamin-menjamin) iaitu dari segi individu, keluarga dan masyarakat, Al-Ukhuwwah (persaudaraan) dan yang terakhir sekali ialah Al-Muhabbah yang bermaksud (berkasih sayang). Aplikasi hubungan social bermaksud amalan yang dianjurkan oleh agama Islam yang kesannya boleh mengekalkan hubungan baik dalam masyarakat sama ada masyarakat majmuk ataupun tidak dan antara amalan-amalan tersebut adalah kemesraan komunikasi, budaya ziarah menziarahi, mengambil berat, saling hormat-menghormati, menjaga hak-hak jiran, dan bersama dalam membuat keputusan. Selain itu, pentingnya kita untuk menjamin kebaikan serta menghindari kemudaratan kepada semua manusia tanpa mengira etnik dengan cara menjaga agama, menjaga jiwa, menjaga akal, menjaga harta dan menjaga keturunana. Konsep wasatiyyah adalah pertengahan dan moderat iaitu antara dua sikap yang ekstrem (melampau) dan yang jumud (tidak ekstrem). Wasatiyyah dalam sistem adalah satu amalan dan nilai murni yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian tidak kira dalam diri individu, masyarakat mahupun negara. Dari segi politik, pemimpin haruslah bersikap adil, jujur dan amanah dalam mentadbir negara. Selain itu, dalam hal ekonomi, Islam juga telah memutuskan bahawa sesiapa yang menjalankan kegiatan perdagangan mestilah mengelakkan daripada melakukan penipuan, monopoli, rasuah dan berhutang. Setiap keuntungan yang dimiliki dibayar zakat mengikut kadarnya dan diberikan kepada yang memerlukan. Yang terakhir ialah dari segi sosial, dalam Islam terdapat dua komponen penting iaitu hablun minallah (hubungan dengan Pencipta) dan hablun minannas (hubungan dengan makhluk). Hubungan antara kedua-duanya perlu diseimbangkan agar mendapat kebaikan dunia dan akhirat. Dalam hubungan antara makhluk, Islam menekankan hubungan sesama manusia. Oleh itu, dalam hubungan sosial perlunya bersikap Wasatiyyah agar perpaduan dapat dicapai kerana perpaduan memainkan perasan penting dalam menjaga kestabilan dan keutuhan sesebuah negara kalau tidak, pastinya negara tersebut akan hancur dan keamanan yang dinikmati sebelumnya musnah.

Homework (Individu) - (Minggu 10, 18 Mei 2016) - Nur Farah Hani

Assalamualaikum,

Soalan 1: Maksud negara maju dan ciri-cirinya.

Istilah negara maju digunakan untuk menghuraikan negara-negara yang dikira menikmati tahap pembangunan yang tinggi berdasarkan ukuran-ukuran tertentu. Ukuran yang mana dan negara mana yang digolongkan sebagai maju masih menjadi titik perbalahan dan perbahasan yang hangat, tetapi perdebatan sebegini selalunya dikuasai oleh ukuran ekonomi. Kebanyakan negara dengan GDP per kapita tinggi dianggap negara berkembang.

Antara ciri-ciri negara maju adalah:
  1. Sebagian besar penduduknya bekerja pada sektor industri dan jasa yang sebagian hasilnya untuk di-eksport.
  2. Mengusahakan sektor usaha pertanian sebagai sampingan tetapi pengolahannya sudah menggunakan teknologi dan alat-alat moden.
  3. Memiliki sumber daya manusia berkualiti tinggi dengan tingkat kehidupan yang baik, sehingga mampu menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi.
  4. Peningkatan pendapatan per kapita rata-rata penduduknya tinggi.
  5. Pertumbuhan penduduk yang rendah dan telah diimbangi dengan fasiliti dan pelayanan sosial yang memadai.
  6. Telah ada kesetaraan jantina antara perempuan dan laki-laki.
  7. Telah memiliki taraf pendidikan yang tinggi sehingga sudah tidak ada penduduk yang buta huruf.
  8. Angka beban tanggungan usia produktif yang rendah.
  9. Tidak menemui adanya kemiskinan kerana sebagian besar penduduk telah memiliki tingkat penghasilan yang dapat mencukupi keperluan hidupnya.
  10. Mampu mendominasi kehidupan sosial, ekonomi negara-negara berkembang, terutama dalam hal modal serta ilmu pengetahuan dan teknologi

Soalan 2: Jenis pembangunan seperti manakah yang dinilai terhadap ekonomi samada dari segi sudut pandangan Islam atau barat?

Sebenarnya, pembangunan ekonomi yang dinilai dari sudut perspektif Islam perlu diutamakan. Ini kerana pembangunan ekonomi dari segi sudut Islam adalah syumul, menyeluruh, multi dimensi dan bersepadu antara aspek rohani dan kebendaan melalui pendekatan fungsi kebajikan sosial dalam Islam untuk untuk mencapai kecekapan penggunaan, pengeluaran dan pengagihan pendapatan, dan kekayaan dalam Islam. Ia juga adalah asas kepada pembentukan Ummah yang bertamadun, Ummah yang kuat dan kental Imannya, Ummah yang teguh rohaninya, Ummah yang selesa penghidupannya dan Ummah yang mencapai al-falah dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi. Sebaliknya dari sudut pandangan barat, pembangunan hanya ditekankan dalam aspek material dan fizikal semata-mata yang pastinya akan melahirkan pembangunan ekonomi yang rapuh, pembangunan sosial yang pincang dan tidak membawa kepada pembangunan Ummah yang bertamadun. Malah pembangunan luaran dan fizikal ekonomi ini akan runtuh dengan sebab kebejatan akhlak masyarakat dan keruntuhan nilai-nilai tatasusila.

Refleksi Minggu ke 10 (18 Mei 2016) - Nur Farah Hani

Assalamualaikum,

Bagi refleksi untuk minggu ke 10 adalah berkenaan Dari Segregasi Ke Integrasi. Segregasi merupakan pemisahan atau pengasingan antara satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain dalam sesebuah negara seperti tempat tinggal, jenis pekerjaan dan sistem persekolahan. Integrasi pula adalah satu proses penyatuaan atau penyesuaian pelbagai kelompok masyarakat yang mempunyai latar belakang yang berbeza. Maka dari kenyataan ini, dapat disimpulkan bahawa negara Malaysia telah membuat satu perubahan positif untuk menyatupadukan rakyat dan kaum etnik yang berbilang agar menjadi satu negara bangsa yang aman damai. Kerajaan telah memainkan peranan penting dalam membentuk integrasi di dalam negara. Antaranya adalah pengenalan kepada Rukun Negara, menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN), merangka dan membentuk pelbagai dasar kerajaan, memperkenalkan Wawasan 2020 dan memperkenalkan konsep 1 Malaysia. Masyarakat juga tidak lari dari melaksanaka tanggungjawab untuk bersepadu antara satu sama lain. Masyarakat telah memupuk semangat Rukun Tetangga yang diperkenalkan pada tahun 1975. Matlamat utama adalah untuk membolehkan rakyat mengawal keselamatan di kawasan kediaman masing-masing. Selain itu, rumah terbuka telah dibuat bagi memberi kefahaman kepada rakyat bukan Islam tentang nilai hidup ajaran Islam yang menganjurkan sifat berbaik-baik sesama manusia. Yang terakhir adalah difusi dan penerimaan budaya, Difusi bermaksud proses penyebaran unsur-unsur budaya daripada seorang individu kepada seorang individu lain atau dari satu masyarakat kepada satu masyarakat yang lain. Penerimaan budaya pula berperanan mewujudkan kerjasama etnik dengan cara akulturasi budaya seperti etnik Cina memakai baju kurung atau Melayu pada hari Jumaat di tempat kerja.


Selain itu, topik yang telah saya pelajari adalah Pembangunan Ekonomi Dalam Konteks Hubungan Etnik di Malaysia. Terdapat dua perspektif pembangunan ekonomi iaitu dari perspektif Islam dan juga barat. Islam menyuruh manusia supaya menekankan pembangunan rohani, spiritual dan akhlak serta membina ketakwaan yang akan membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat.  Kesejahteraan dan kebajikan serta falah yang ingin dicapai dalam kerangka pembangunan ekonomi Islam bukan sekadar untuk memenuhi keperluan duniawi semata-mata, tetapi juga kesejahteraan, kebajikan dan falah di akhirat, dan antara keduanya tidak ada garis pemisah. Namun menurut perspektif barat, konsep pembangunan ekonomi hanya dilihat sebagai sebahagian daripada konsep kebendaan. Apa-apa perancangan ekonomi oleh negara yang lari daripada fahaman di atas dianggap menyimpang daripada fahaman komunis dan dianggap sebagai borjuis. Sementara dalam sistem ekonomi kapitalis, pembangunan ekonomi hanya melihat dari aspek pembangunan kebendaan dan fizikal. Pembangunan ekonomi di Malaysia berbeza dari sebelum merdeka dan selepas merdeka. Dimana selepas merdeka, wujudnya pelbagai jenis rancangan untuk membangunkan ekonomi negara dan antaranya adalah Rancangan Malaya Pertama hingga Kesebelas. Dasar Ekonomi Baru juga telah digubal bagi membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan bagi menyusun semula masyarakat bandar dan luar bandar. Dasar penswastaan telah dilaksanakan bagi mengurangkan beban kewangan dan pentadbiran kerajaan. Terdapat banyak lagi strategi kerajaan untuk memastikan ekonomi negara berada pada satu tahap yang stabil dan mampu menjamin kesejahteraan rakyat.