Assalamualaikum,
Refleksi
bagi minggu ni adalah berkenaan topik Strategi Survival Melayu dan Bumiputera.
Konsep ini bermaksud satu usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan
kehidupan dan kewujudan orang Melayu dan Bumiputera terus terjamin mengikut
peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia. Peranan dan tanggungjawab kerajaan
dalam membela nasib orang Melayu dan Bumiputera tidak bercanggah dalam Islam
selagi mana tidak menindas dan menzalimi hak-hak kaum lain yang ada di
Malaysia. Sejak merdeka sehingga kini, banyak usaha yang telah dilakukan oleh
kerajaan terutama yang dilakukan oleh pemimpin Melayu bagi memastikan survival
Melayu dan Bumiputera di Malaysia. Dari segi politik, kerajaan telah mewujudkan
kerjasama dan penyatuan politik iaitu Parti Melayu yseperti UMNO, PAS dan PKR
dimana matlamatnya adalah untuk menjaga dan bekerjasama dalam perkara yang
melibatkan kepentingan Melayu dan Bumiputera. Selain itu, dari ekonomi pula
kerajaan telah memperluaskan program berasaskan pertanian dengan sokongan
bantuan seperti pinjaman modal, memperkasakan industri kecil dan sederhana
serta membantu peniaga kecil, petani dan nelayan. Dari sudut sosial pula adalah
dengan menguatkan perpaduan Melayu dan Bumiputera seperti melaksanakan program
kejiranan, Rukun Tetangga, rondaan sukarelawan, gotong royong dan sebagainya.
Dari segi pendidikan pula ialah menubuhkan RIDA, Dewan Latihan RIDA, Maktab
MARA dan Institusi Teknologi MARA dan pengiktirafan Universiti Teknologi MARA
(UiTM). Yang terakhir dari segi budaya ialak kerajaan Malaysia telah menggubal
satu Dasar Kebudayaan Kebangsaan agar nilai budaya masyarakat terus kekal pada
masa akan datang.
Refleksi
bagi topik yang terakhir dalam silibus CTU555 yang telah saya pelajari adalah
Islam dan Hubungan Etnik. Soal perbezaan bukan menjadi penghalang
untuk manusia berbaik-baik, bekerjasama dan saling membantu antara satu sama
lain. Islam melihat kepelbagaian etnik dengan pandangan yang positif untuk
berkenal-kenalan dan bantu-membantu dalam perkara kebaikan. Prinsip Islam
berkaitan dengan nilai-nilai kemanusiaan terdiri daripada pelbagai jenis.
Antaranya ialah Al-'Ilm yang bermaksud ilmu, Al-Syura (perbincangan),
Al-'Adalah iaitu keadilan, Al-Hurriyyah yang membawa erti kebebasan, Al-Musawah
yang bermaksud samarata dan yang terakhir ialah Al-Mas'ulliyah (tanggungjawab).
Yang menjadi asas hubungan etnik menurut Islam ialah Al-Ta'aruf
(berkenal-kenalan), Al-Tafahum (faham-memahami), Al-Ta'awun (bantu-membantu),
Al-Tadhamun (jamin-menjamin) iaitu dari segi individu, keluarga dan masyarakat,
Al-Ukhuwwah (persaudaraan) dan yang terakhir sekali ialah Al-Muhabbah yang
bermaksud (berkasih sayang). Aplikasi hubungan social bermaksud amalan yang
dianjurkan oleh agama Islam yang kesannya boleh mengekalkan hubungan baik dalam
masyarakat sama ada masyarakat majmuk ataupun tidak dan antara amalan-amalan
tersebut adalah kemesraan komunikasi, budaya ziarah menziarahi, mengambil
berat, saling hormat-menghormati, menjaga hak-hak jiran, dan bersama dalam
membuat keputusan. Selain itu, pentingnya kita untuk menjamin kebaikan serta
menghindari kemudaratan kepada semua manusia tanpa mengira etnik dengan cara
menjaga agama, menjaga jiwa, menjaga akal, menjaga harta dan menjaga
keturunana. Konsep wasatiyyah adalah pertengahan dan moderat iaitu antara dua
sikap yang ekstrem (melampau) dan yang jumud (tidak ekstrem). Wasatiyyah dalam sistem
adalah satu amalan dan nilai murni yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan
seharian tidak kira dalam diri individu, masyarakat mahupun negara. Dari segi
politik, pemimpin haruslah bersikap adil, jujur dan amanah dalam mentadbir
negara. Selain itu, dalam hal ekonomi, Islam juga telah memutuskan bahawa
sesiapa yang menjalankan kegiatan perdagangan mestilah mengelakkan daripada
melakukan penipuan, monopoli, rasuah dan berhutang. Setiap keuntungan yang
dimiliki dibayar zakat mengikut kadarnya dan diberikan kepada yang memerlukan.
Yang terakhir ialah dari segi sosial, dalam Islam terdapat dua komponen penting
iaitu hablun minallah (hubungan dengan Pencipta) dan hablun minannas (hubungan
dengan makhluk). Hubungan antara kedua-duanya perlu diseimbangkan agar mendapat
kebaikan dunia dan akhirat. Dalam hubungan antara makhluk, Islam menekankan
hubungan sesama manusia. Oleh itu, dalam hubungan sosial perlunya bersikap
Wasatiyyah agar perpaduan dapat dicapai kerana perpaduan memainkan perasan
penting dalam menjaga kestabilan dan keutuhan sesebuah negara kalau tidak,
pastinya negara tersebut akan hancur dan keamanan yang dinikmati sebelumnya
musnah.