Sunday, 1 May 2016

HUDUD, QISAS, TA'ZIR (Homework) - (27 April 2016)

Homework: Hudud, Qisas dan Ta'zir



Hudud
Definisi
Definisi yang dapat dipetik dari penulisan mereka mengenai hudud ialah ; Hukum-hukum yang tertentu yang ditentukan oleh Allah sama ada melalui al-Quran atau Sunnah Nabi Muhammad s.a.w sebagai Hak Allah yang dikenakan ke atas pesalah-pesalah yang telah melakukan kesalahan-kesalahan yang tertentu yang digolongkan di dalam jenayah Hudud, iaitu tujuh jenis seperti yang diterangkan oleh al-Quran iaitu:
·         Zina.
·         Tuduhan Zina ( Qazaf ) tanpa empat saksi.
·         Minum Arak.
·         Mencuri.
·         Hirabah ( Perusuh / ganggu keamanan ).
·         Murtad.
·         Baghy (Bughah – Pemberontakan).
Antara dalil-dalil yang disebut daripada Al-Quran dan juga hadith:

Pengharaman Zina, firman Allah yang bermaksud :
Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk .
( al-Quran, al-Isra : 32 )


Hukuman Zina, firman Allah yang bermaksud :

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah disebat tiap-tiap seorang dari mereka seratus kali sebatan .
( al-Quran, an-Nur : 2 )

Pengharaman minum arak, Firman Allah yang bermaksud :
Hai orang-orang yang beriman ! sesungguhnya meminum khamar ( arak ), berjudi, berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan Syaitan. Kerana itu jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan ( kejayaan ) .
( al-Quran, al-Maidah : 90 )

Hukuman hudud meminum arak ialah disebat, tetapi jumlahnya terdapat dua riwayat ; dalam satu hadis diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah telah memukul ( sebat )seorang lelaki yang meminum arak dengan dua pelepah tamar sebanyak empat puluh kali dan begitu juga dilakukan oleh Abu Bakar, tetapi pada masa Saidina Umar, beliau berbincang dengan sahabat-sahabat dan berkata seorang sahabat, Abdul Rahman seringan-ringan hudud ialah lapan puluh kali sebatan 
( Muslim, Sahih : hlm. 214 ) dan Umar menurutnya.

Hukuman Hudud Jenayah Mencuri, Firman Allah yang bermaksud ;

Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-duanya ( sebagai ) pembalasan bagi apa yang telah mereka lakukan dan sebagai seksaan dari Allah .
( al-Quran, al-Maidah : 38 )

Hukuman hudud bagi kesalahan mencuri ialah:
potong tangan dengan cara yang tertentu yang akan dibincangkan kemudian.

Hukuman Perusuh dan Pengacau Keamanan ( hirabah ), Firman Allah yang bermaksud :

Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik atau dibuang negeri. Yang demikian itu sebagai satu penghinaan untuk mereka di dunia dan di akhirat mereka akan beroleh seksaan yang besar .
( al-Quran, al-Maidah : 33 )


Pengharaman Murtad, Firman Allah yang bermaksud :

Barangsiapa mencari agama selain dari agama Islam, maka tidaklah akan diterima ( agama itu ) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk di antara orang-orang yang rugi .
( al-Quran, al-Imran : 35 )


Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati di dalam kekafiran, maka amal mereka menjadi sia-sia di dunia dan akhirat .
( al-Quran, al-Baqarah : 217 )


Hukuman Murtad ialah bunuh, Hadis Nabi yang mafhumnya ;

Tidak halal darah seorang Muslim yang telah bersaksi bahawa tiada Tuhan Yang diSembah dengan sebenarnya melainkan Allah dan mengakui Aku ( Muhammad ) sebagai Rasulullah, melainkan terhadap salah satu dari tiga ( orang ) iaitu penzina yang telah berkahwin ( muhsan ), membunuh orang tanpa hak dan orang yang meninggalkan agamanya ( murtad ). 
( Muslim, Sahih : hlm. 164 )

Jenayah Baghy, pengharamannya dan hukumannya, Firman Allah yang bermaksud :
Dan jika dua golongan dari orang Mukmin yang berperang maka damaikanlah anara keduanya, jika salah satu dari dua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain, maka perangilah golongan yang membuat aniaya itu sampai golongan itu kembali kepada perintah Allah .
( al-Quran, al-Hujurat : 9 )



Qisas

Definisi
Qisas secara istilah ialah suatu hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah yang wajib dilaksanakan bagi menunaikan hak manusia. Qisas juga bererti “potong” ataupun yang memberi arti bahawa dengan hukuman qisas akan terpotong jenayah itu dan ini terus berlaku di dalam masyarakat.

Kesalahan yang wajib dijadikan Qisas
 Antara kesalahan yang boleh diwajibkan qisas ialah:

   a.         Membunuh orang dengan sengaja.
   b.         Membunuh orang dengan menyerupai sengaja.
   c.         Membunuh orang dengan tersalah.
   d.         Membunuh orang dengan sengaja tetapi tidak membawa kepada kematian.
   e.         Membunuh orang dengan menyerupai sengaja dan tidak membawa kepada kematian.

Firman Allah:
Artinya:  “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu melaksanakan hukuman qisas (balasan yang seimbang) di dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh.”
(al-Baqarah:  178)


Syarat-syarat Qisas
       Syarat-syarat boleh dilakukan hukum qisas dengan dua syarat ;
 -Pembunuh itu baligh dan berakal. Pembunuh yang belum baligh dan berakal tidak dihukum qisas.
 -Pembunuh, bukan bapa, ibu, datuk dan nenek. Mereka ini tidak dikenakan qisas.


Ta’zir
Definisi
Ta'zir dari segi bahasa bererti menolak atau menghalang. Dari segi istilah ialah hukuman yang dikenakan ke atas orang yang membuat kesalahan dan maksiat atau orang yang mencuaikan kewajipan yang tidak ditetapkan hukuman keseksaannya di dalam al-quran dan Hadis atau hukuman yang dikenakan ke atas orang yang melakukan jenayah yang telah ditetapkan keseksaaannya tetapi tidak cukup syarat bagi mengenakan keseksaan itu.

Kesalahan yang termasuk dalam kategori Ta'zir.
Kesalahan-kesalahan yang termasuk di bawah kategori ta'zir ialah sebagaimana berikut:
1.    Kesalahan-kesalahan hudud dan qisas yang tidak cukup bukti untuk dikenakan hukuman hudud dan qisas.
2.    Kesalahan-kesalahan khalwat, mencuri yang tidak cukup nisab, lesbian dan sebagainya.
3.    Perbuatan-perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam seperti mengumpat,berjudi, rasuah, mengedar dan penyalahgunaan dadah.

Hukuman bagi kesalahan Ta'zir
Hukuman ta'zir diserahkan kepada budi bicara hakim supaya hukuman tersebut memberi pengajaran supaya penjenayah serik untuk melakukan semula. Antara hukuman-hukuman yang boleh dikenakan kepada pesalah adalah sebagaimana berikut:
a.   Nasihat
Menasihati orang yang melakukan kesalahan kecil bagi pertama kali agar ia tidak mengulangi lagi pada masa akan datang.
b.   Teguran
Teguran rasmi yang dilakukan oleh hakim dengan mengeluarkan ucapan-ucapan atau melakukan sesuatu tindakan tertentu agar orang yang melakukan kesalahan akan berusaha memperbaiki dirinya.
c.   Ancaman
Mengancam orang yang bersalah agar tidak mengulangi kesalahannya di atas sebab takut dikenakan hukuman.
d.   Pemulauan
Hukuman pemulauan dikenakan kepada pesalah agar ia berasa tersepit sekiranya ia berterusan atau mengulangi kesalahannya lantaran tidak dapat bermuamalat dengan orang lain dalam masyarakat.
e.   Pengisytiharan Umum
Membuat pengistiharan kepada umum terhadap kesalahan penjenayah supaya penjenayah berasa malu dan tertekan.
f.    Denda dan merampas harta
Mengenakan denda dalam bentuk wang dan sebagainya atau merampas harta bendanya.
g.   Penjara
Mengenakan hukuman penjara dalam tempoh tertentu mengikut realiti semasa.
h.   Sebat
 Mengenakan hukuman sebat kepada penjenayah dengan jumlah sebatan yang tertentu.
 i.     Buang daerah
 Mengenakan hukuman buang daerah supaya pesalah rasa tertekan, mengalami kesukaran, kesusahan dan terpisah dari kaum keluarga
j.     Bunuh
Dibenarkan oleh syara' bagi menjaga kemaslahatan awam jika difikirkan sesuai

Kesimpulan berkaitan hukum HUDUD, QISAS dan TA'ZIR ialah:
Dengan ini, jelaslah ketegasan yang tergambar, yang pada hakikatnya merupakan suatu rahmat kepada masyarakat keseluruhannya sehingga bebas daripada kejahatan kedua jenayah itu dan bahayanya. Oleh itu pengorbanan tangan dan kaki adalah terlalu sedikit bilangannya jika dinisbahkan kepada orang yang berdosa dan keluar daripada hukum Allah S.W.T. yang melakukan jenayah melibatkan ribuan orang yang tidak berdosa kehilangan nyawa, tubuh dan harta benda mereka. Malah kekerasan hukuman pada hakikatnya adalah rahmat kepada orang yang ragu-ragu untuk melakukan jenayah kerana kekerasan hukuman tersebut akan menimbulkan ketakutan di kalangan mereka yang cuba melakukannya. Maka, keadaan itu juga akan mengubah pendirian orang yang teragak-agak untuk melakukan jenayah itu.

Refleksi Minggu ke 7 (27 April 2016) - Natasha

Assalamualaikum.....

Untuk refleksi pada minggu ini, apa yang dapat saya simpulkan daripada topik pengajaran berhubung dengan Konsep Perlembagaan adalah pentingnya sistem beraja dalam negara agar dapat meletakkan ketinggian  hak dan kedudukan istimewa orang islam dan bumiputera. Contohnya batasan hak bersuara daripada menyentuh kedudukan Raja-Raja Melayu dan kebebasan beragama. Oleh hal demikian sebagai generasi pada masa kini, kita tidak boleh mempersiakan hak yang telah diperjuangkan oleh tradisi awal dan seterusnya mengamalkan konsep berkerjasama di antara etnik bagi menuju kemerdekaan.