Friday, 3 June 2016

Refleksi Minggu ke 11 (25 Mei 2016) - Nur Farah Hani

Assalamualaikum,

Refleksi bagi minggu ni adalah berkenaan topik Strategi Survival Melayu dan Bumiputera. Konsep ini bermaksud satu usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan kehidupan dan kewujudan orang Melayu dan Bumiputera terus terjamin mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia. Peranan dan tanggungjawab kerajaan dalam membela nasib orang Melayu dan Bumiputera tidak bercanggah dalam Islam selagi mana tidak menindas dan menzalimi hak-hak kaum lain yang ada di Malaysia. Sejak merdeka sehingga kini, banyak usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan terutama yang dilakukan oleh pemimpin Melayu bagi memastikan survival Melayu dan Bumiputera di Malaysia. Dari segi politik, kerajaan telah mewujudkan kerjasama dan penyatuan politik iaitu Parti Melayu yseperti UMNO, PAS dan PKR dimana matlamatnya adalah untuk menjaga dan bekerjasama dalam perkara yang melibatkan kepentingan Melayu dan Bumiputera. Selain itu, dari ekonomi pula kerajaan telah memperluaskan program berasaskan pertanian dengan sokongan bantuan seperti pinjaman modal, memperkasakan industri kecil dan sederhana serta membantu peniaga kecil, petani dan nelayan. Dari sudut sosial pula adalah dengan menguatkan perpaduan Melayu dan Bumiputera seperti melaksanakan program kejiranan, Rukun Tetangga, rondaan sukarelawan, gotong royong dan sebagainya. Dari segi pendidikan pula ialah menubuhkan RIDA, Dewan Latihan RIDA, Maktab MARA dan Institusi Teknologi MARA dan pengiktirafan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Yang terakhir dari segi budaya ialak kerajaan Malaysia telah menggubal satu Dasar Kebudayaan Kebangsaan agar nilai budaya masyarakat terus kekal pada masa akan datang.


Refleksi bagi topik yang terakhir dalam silibus CTU555 yang telah saya pelajari adalah Islam dan Hubungan Etnik. Soal perbezaan bukan menjadi penghalang untuk manusia berbaik-baik, bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain. Islam melihat kepelbagaian etnik dengan pandangan yang positif untuk berkenal-kenalan dan bantu-membantu dalam perkara kebaikan. Prinsip Islam berkaitan dengan nilai-nilai kemanusiaan terdiri daripada pelbagai jenis. Antaranya ialah Al-'Ilm yang bermaksud ilmu, Al-Syura (perbincangan), Al-'Adalah iaitu keadilan, Al-Hurriyyah yang membawa erti kebebasan, Al-Musawah yang bermaksud samarata dan yang terakhir ialah Al-Mas'ulliyah (tanggungjawab). Yang menjadi asas hubungan etnik menurut Islam ialah Al-Ta'aruf (berkenal-kenalan), Al-Tafahum (faham-memahami), Al-Ta'awun (bantu-membantu), Al-Tadhamun (jamin-menjamin) iaitu dari segi individu, keluarga dan masyarakat, Al-Ukhuwwah (persaudaraan) dan yang terakhir sekali ialah Al-Muhabbah yang bermaksud (berkasih sayang). Aplikasi hubungan social bermaksud amalan yang dianjurkan oleh agama Islam yang kesannya boleh mengekalkan hubungan baik dalam masyarakat sama ada masyarakat majmuk ataupun tidak dan antara amalan-amalan tersebut adalah kemesraan komunikasi, budaya ziarah menziarahi, mengambil berat, saling hormat-menghormati, menjaga hak-hak jiran, dan bersama dalam membuat keputusan. Selain itu, pentingnya kita untuk menjamin kebaikan serta menghindari kemudaratan kepada semua manusia tanpa mengira etnik dengan cara menjaga agama, menjaga jiwa, menjaga akal, menjaga harta dan menjaga keturunana. Konsep wasatiyyah adalah pertengahan dan moderat iaitu antara dua sikap yang ekstrem (melampau) dan yang jumud (tidak ekstrem). Wasatiyyah dalam sistem adalah satu amalan dan nilai murni yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian tidak kira dalam diri individu, masyarakat mahupun negara. Dari segi politik, pemimpin haruslah bersikap adil, jujur dan amanah dalam mentadbir negara. Selain itu, dalam hal ekonomi, Islam juga telah memutuskan bahawa sesiapa yang menjalankan kegiatan perdagangan mestilah mengelakkan daripada melakukan penipuan, monopoli, rasuah dan berhutang. Setiap keuntungan yang dimiliki dibayar zakat mengikut kadarnya dan diberikan kepada yang memerlukan. Yang terakhir ialah dari segi sosial, dalam Islam terdapat dua komponen penting iaitu hablun minallah (hubungan dengan Pencipta) dan hablun minannas (hubungan dengan makhluk). Hubungan antara kedua-duanya perlu diseimbangkan agar mendapat kebaikan dunia dan akhirat. Dalam hubungan antara makhluk, Islam menekankan hubungan sesama manusia. Oleh itu, dalam hubungan sosial perlunya bersikap Wasatiyyah agar perpaduan dapat dicapai kerana perpaduan memainkan perasan penting dalam menjaga kestabilan dan keutuhan sesebuah negara kalau tidak, pastinya negara tersebut akan hancur dan keamanan yang dinikmati sebelumnya musnah.

No comments:

Post a Comment